Kitakah isteri yang dicari?
Alhamdulillah, perkongsian dari saudari Nurul Adni, http://sisi-kehidupan.blogspot.com/2010/11/kitakah-isteri-yang-dicari.html
Dari pengalaman hidup melihat sikap
dan karakter lelaki yang berada di sekeliling, maka insan yang bernama
perempuan sering memerhati dan akhirnya mempelajari apakah ciri-ciri
yang baik pada seorang suami.
Bukan lelaki sahaja yang bisa
tidak tentu arah bila melihat perempuan solehah idamannya, bahkan yang
bernama perempuan itu juga bisa bergetar hatinya melihat lelaki yang
soleh. Hingga tersemat di sudut hatinya, berdoa dan meminta pada ALLAH
agar dipilih oleh lelaki soleh itu..
Betul tak saudara-saudara perempuanku… :P
[Ya, bukan semua.. sebahagian perempuan tidak terusik hati pun dengan kebaikan dan kesolehan lelaki…]
Idealnya, semua yang memiliki
hati perempuan inginkan bakal suami yang baik, bertanggungjawab,
peramah, penyayang, beriman, beramal soleh, berilmu…
Ada yang inginkan yang kaya dan hensem..yang penuh sifat kelelakian.
Ada yang inginkan yang sekufu dan ‘sekepala’…
Ada yang inginkan sama-sama aktif dalam jemaah dan dakwah. Sama-sama bersemangat dalam kerja-kerja sosial dan kebaikan.
Namun, apakah realiti yang sering berlaku…?
Bila suami baik…
“ Abang ni baik sangatlah..
kalau ya pun nak buat baik, agak-agaklah sikit…” luah si isteri tidak
puas hati si suami membeli kereta baru untuk ibu dan ayah mertua. Apatah
lagi, suami tidak melayan permintaan isteri untuk bercuti ke negara
empat musim. Sedangkan kereta itu untuk mengganti kereta lama yang telah
terlalu uzur.
Bila suami bertanggungjawab…
“Abang ni asyik balik kerja
lewat.. Bila tak kerja pulak, ada je urusan lain yang tak habis-habis..
Abang tinggalkan saya sorang-sorang layan anak kat rumah..”
Sedangkan suami pulang lewat
kerana mengurus perniagaannya dengan penuh tanggungjawab. Kerana
kemudiannya dia ingin melaksanakan tanggungjawab memberi makan minum
pakai pada anak isteri. Kerana dia juga ada tanggungjawab dakwah dan
membantu ummah, bukan sekadar mencintai isteri dan anak-anak.
Bila suami berkarakter penuh
kelelakian, kita para isteri ingin mem ‘perempuankan’ diri si suami.
Diajak suami bershopping baju dan kasut lama-lama, diajak suami
bersembang dan bergosip lama-lama tanpa arah tuju, ingin melihat suami
juga menangis terharu bila sesuatu yang menyentuh berlaku.. sedangkan
itu semua jauh dari minat dan sifat kebanyakan lelaki..
Akan sabarkah kita dengan suami yang baik dan bertanggungjawab sebegini..? Yang berkarisma dengan kelelakiannya…?
Atau kita hanya ingin menjadi
isteri yang memiliki suami yang lalai tanggungjawab kerana sibuk
memenuhkan keinginan nafsu dan kehendak isteri yang tak pernah puas..?
Bila suami peramah..
“ Abang ni tak payah lah senyum
kat semua orang, tak payah sembang dengan diorang selalu.. seronok la
perempuan tu abang senyum kat dia, layan sembang..”
Padahal si suami cuba berbaik-baik dengan kakak ipar dan adik ipar perempuan supaya tidak dikatakan sombong dan dingin.
Bila suami berilmu, beriman dan beramal soleh…
“Abang ni asyik baca buku..asyik
depan laptop menulis.. bila hujung minggu, sibuk dengan program dakwah,
kelas quran lah, kuliah lah, daurah lah.. bila abang nak spend masa
dengan saya dan anak-anak..!” ujar isteri dengan rasa sedih tak puas
hati.
Sedangkan dulu si isteri
mengagumi lelaki yang nampak ke depan dalam program dakwah. Si isteri
terkagum-kagum dengan aura ilmu dan keimanan yang terpancar di wajah
pemuda dakwah itu. Si isteri tertarik dengan kemurahan hati pemuda itu
bersedekah. Si isteri dulunya teruja untuk bersama pemuda dakwah yang
giat aktif..
Dan akhirnya meluahkan… “Lebih baik saya kahwin dengan orang biasa..”
Kerana setelah berkahwin dengan
ustaz, pendakwah, agamawan, ilmuwan, jutawan, dermawan.. ternyata para
isteri sukar untuk menerima gaya hidup suami yang kononnya dulu itulah
ciri-ciri idaman.
Dan bagi yang bernikah dengan ‘orang biasa’, mereka berharap pula mendapat ‘orang-orang agama’.
Sedangkan nantinya, sukar para
isteri untuk menerima apa-apa kesalahan dan kesilapan suaminya.. Orang
agama diharapkan seperti malaikat suci diri sempurna peribadi.
“Tak sangka suami aku macam tu, dia tu kan penghafaz Al Quran..”
“ Suami saya tu namanya je pegawai di jabatan agama tapi…”
“Dengan orang lain sibuk berdakwah, dengan isteri dan anak sendiri tak ada masa…”
Sedangkan seorang suami itu- ‘orang agama atau orang biasa’ - mengharap kita menerima kelemahan dirinya seadanya.
Seorang suami itu harapkan kita bersabar dan kuat mengurus emosi sendiri dan keluarga sewaktu ketiadaannya.
Seorang suami itu juga mengharap
isteri tidak berhenti menuntut ilmu, agar mampu mendidik fitrah anak
dan mencorak rumahtangga dengan suasana islami. Suami keluar berkerja
dan berdakwah, isteri di rumah konsisten dan strategik mentarbiyyah
[mendidik].
Suami berharap isteri berhenti
bergosip dan bersembang kosong tentang artis atau orang lain, tentang
fesyen, tentang perabot, make-up, tentang melancong yang memakan kos
yang banyak dan topik lain yang menjauhkan famili dari kesederhanaan dan
keredhaan tuhan.
Setelah bernikah, ternyata kita yang bernama isteri tidak sabar dengan ciri yang kita idamkan dulu..?
Atau kita yang tidak pandai membawa diri dengan karakter suami yang pelbagai bentuk dan gaya…?
Atau kita jarang sekali merasa cukup dengan masa, wang dan kemesraan yang suami kongsikan…?
Ingin yang sekufu, namun
sedarkah bahawa sekufu itu boleh jadi kupu-kupu yang meninggalkan
pasangannya jika kita tidak bersungguh berubah ke arah kebaikan…dan
menjadi renggang jika kita tak pandai memimpin pasangan kepada kebaikan?
Manusia itu mungkin, mungkin pada satu tahap boleh sekufu.
Tapi realiti nya, manusia sentiasa dan kerap berubah. Kepada yang lebih baik atau lebih teruk. Tak akan terus sekufu.
Dan kita tak berubah dengan
kadar dan cara yang sama dengan pasangan hidup. Apapun, moga perubahan
itu destinasinya sama –menuju redha Ilahi.
Lalu
sebenarnya, yang teramat penting adalah kemampuan kita para isteri
membawa diri dalam rumahtangga yang dibina setelah membuat keputusan
dengan istikharah dan musyawarah.
Mampu membawa diri yang bagaimana..?
Jika suami kaya, bagaimana untuk
kita memahami dan menghormati gaya hidupnya yang berbeza dari kita
‘orang kampung’ (yang tak berapa kaya).
Jika suami orang kampung,
bagaimana kita perlu bijak menyesuaikan diri dengan suasana kekampungan
dan tidak menunjuk muka serba tak kena kerana ‘kebandaran’ kita.
Jika suami bijak atau bergulung
ijazah hingga PhD, bagaimana untuk kita membina kecerdasan diri agar
kita tidak seperti budak tadika yang banyak sangat tak tahu..
Jika suami miskin atau
berpangkat lebih rendah, bagaimana untuk kita merendah hati dan bergaul
mesra dengannya agar dia tidak merasa tertinggal di belakang isteri,
kerana selamanya seorang suami harus di atas sebagai pemimpin yang wajar
ditaati dan dihormati.
Jika suami sebaya atau lebih
muda, bagaimana untuk kita taat dan redha dengan keputusannya, kerana
kita rasa kita lebih matang dari dia atau kita dengan dia sama sahaja,
bukan pandai sangat buat keputusan.
Jika suami lebih berusia,
bagaimana untuk kita memahami dan meletakkan diri sejajar dengan banyak
pengalaman dan pengetahuannya..
Jadi, simpan sebentar senarai calon suami idaman..
Ayuh
kita buat senarai menulis apa kekurangan diri kita, apa skills dan value
yang kita perlu tambah pada diri dalam rangka menjadi isteri idaman …
apa senarai kekuatan yang perlu kita bina, agar kita mampu menjadi
isteri yang pandai membawa diri, walau siapapun ditakdirkanNYA buat
kita…
Di lempar ke lautan menjadi pulau, di lempar ke awan menjadi bintang yang berkerdipan..
Menjadi isteri yang bahagia
bukan dengan mengharap, mengharap dan banyak menerima, namun dengan
banyak memberi, memberi dan terus mencari kebaikan dalam setiap
keadaan..
Sekian perkongsian, harap bermanfaat..
Comments